CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, May 30, 2014

Menjaga Hati


Hati pada dasarnya hanya berperanan sebagai tempat untuk merasa suka dan duka seseorang iaitu dalam konteks peranannya dalam hubungan dengan sesama makhluk. Suka apabila apa yang dihajati tercapai. Duka apabila yang dihajatkan tidak tercapai.

Subhanallah..kekadang kita terlupa bahawa hati mempunyai tanggungjawab yang lebih besar iaitu menjaga hubungan dengan Pencipta kepada hati tersebut iaitu Allah di saat suka dan duka. Ini kerana ke dua-dua suka dan duka itu adalah milik Allah. Kita tiada pilihan, selain menerima kedua-dua ini dengan berlapang dada. Mampukah kita?

Mampukah kita mempertahankan kelodak di hati dengan bersyukur saat diuji demi menjaga hubungan dengan Pencipta kepada hati?  Ramai yang tertewas di dalam hal ini.

Moga dengan sifat kasih sayang Allah yang tidak terhingga kepada kita, Allah mengampunkan segala dosa kita dan melahirkan rasa syukur di dalam diri kita saat suka dan duka.


Tuesday, November 26, 2013

Demi masa

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" (Surah Al-Asr)

Apabila menghayati setiap maksud ayat di atas,  jelas peringatan dari Allah betapa ruginya kita jika masa sehari semalam dibiarkan berlalu tanpa melakukan sebarang kebaikan untuk mengumpul saham akhirat. Benar, kehidupan dunia juga penting. Akan tetapi biarlah kehidupan kita di dunia ini berlandaskan ketaqwaan dan setiap inci perjalanan, perbuatan, bual bicara dan ibadat wajib dan sunat dilakukan semata mata kerana Allah. Semata mata kerana Allah. Hadirkan syukur yang ikhlas di dalam hati di masa susah dan senang kita. Waktu diberi kesenangan terlalu ramai yang mudah bersyukur akan tetapi jika bencana melanda terlalu sedikit golongan manusia yang mampu sujud bersyukur kepada Allah kerana terpilih untuk diuji yang mana ianya salah satu cara meraih rahmat dan reda Allah.

Subhanallah, Allah ..hadirkanlah perasaan syukur aku kepada MU disaat susah dan senang aku Ya Allah. Pilihlah aku untuk menjadi salah seorang hamba MU yang mendapat rahmat MU Ya Allah.



Sunday, October 13, 2013

Pengantin yang dirai

Alhamdulillah baru-baru ini seorang lagi adik suamiku bertemu dengan jodoh beliau. Untuk diriku dan seluruh ahli keluarga, majlis dan pengantin yang diraikan ini ada keistimewaannya yang tersendiri. Benar ianya cukup bermakna untuk kami seisi keluarga.

Alis Marlinna atau Ina iaitu singkatan nama yang kami bahasakan untuk beliau adalah adik iparku dan adik ke tiga suamiku yang seramai sepuluh orang  adik beradik. Suatu hari, Ina memberitahu aku "Ina nak kahwin..". Aku yang terpingga-pingga bertanya, "dengan siapa?". Jawab Ina ringkas"dengan Prekash..". Di dalam hati masih tertanya-tanya "siapa Prekash?". Aku pernah bertemu ke.. bisikku di dalam hati. Soalan seterusnya terpacul dari mulut ku. "akak kenal ke?" Ina menjawab, "Akak pernah jumpa sekali rasanya, Ina bercadang untuk kenalkan Prekash kepada akak dan abe nanti". "Abe" merupakan panggilan untuk abang yang sulung dalam masyarakat kelantan. Dengan pengumuman tersebut seluruh ahli keluarga terkejut dan tertanya-tanya siapakah insan yang bernama "Prekash" ini. Walaubagaimanapun, aku percaya semua kami amat terharu dan gembira dengan pengumuman ini. Ina memberi gambaran ringkas kepada kami berkenaan insan yang bernama "Prekash". Melalui perwatakan yang digambarkan ini dan sebagai manusia biasa, kami mula membuat telahan-telahan sendiri.

Apabila tiba masanya untuk kami mengenali dengan lebih dekat bakal suami Ina..segala perasan gundah-gulana manusia terbang disambar angin lalu. Terus-terang aku dapat katakan apabila pertama kali bertentang mata dengan "Prekash", aku dapat rasakan dia mampu menjadi suami yang baik kepada Ina.. adik iparku. Perasaan itu milik Allah. Allah yang hadirkan perasaan itu di dalam hati  aku ketika itu. Moga perasaan itu benar dan diredhoi Allah.
Persiapan majlis perkahwinan mula dibincangkan kerana kedua-duanya hendak laksanakan majlis pada tahun ini juga. Perkara yang baik tidak perlu ditangguhkan. Seperti biasa, suamiku selaku anak sulung bertindak sebagai wakil keluarga bertanggunjawab untuk membentuk Jawatankuasa Penyelaras Majlis dan sudah tentu pembantu 'khasnya' adalah aku diikuti oleh ahli-ahli AJK yang lain iaitu ipar dan biras. 
Alhamdulillah semua urusan majlis tersebut berjalan dengan lancar sekali. Semua yang terlibat amat komited dengan tugasan masing-masing. Ianya amat terserlah di mata setiap insan-insan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis yang sederhana tapi meriah ini. Lebih-lebih lagi di pihak keluarga "Prekash" yang mana jelas terpancar keikhlasan di raut wajah mereka walaupun kami berbeza budaya, agama dan bangsa. Lebih mengharukan lagi dengan kehadiran  keluarga "Prekash" iaitu pakcik-pakcik dan makcik-makcik beliau yang sanggup datang dari jauh iaitu India dan Dubai untuk sama-sama memeriahkan majlis perkahwinan tersebut. Mereka datang bukan dipaksa..mereka datang dengan rela hati apabila mendengar anak saudara mereka yang berada di Malaysia akan mendirikan rumah tangga. Mereka datang untuk berkongsi kegembiraan tersebut dengan Prekash dan keluarganya yang menetap di Malaysia. Subhanallah..hati itu milik Allah..Allah boleh buka hati sesiapa sahaja untuk terima hidayahNYA dan Allah boleh berikan kepada sesiapa sahaja untuk mengecapkan kegembiraan dan memberi kegembiraan kepada sesama insan. Tiada daya kita...
Majlis buka bicara dilakukan oleh adik ipar "Prekash" sendiri lengkap dengan pantun adat melayu dan pantun bersambut dan dibalas kami tanda berbesar hati menyambut kehadiran mereka sekeluarga. Allah..Allah..tiada kekok di antara kami..tiada langkah yang pincang..setiap penjuru majlis kedengaran gelak tetawa dan senyum sentiasa terukir dibibir para hadirin sama seperti majlis perkahwinan keluarga melayu yang lain. Kadi yang dipertanggungjawabkan untuk menyempurnakan akad nikah kedua mempelai juga melahirkan rasa terharu. Menurut beliau, inilah kali pertama sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Kadi, Allah memberi peluang kepada beliau untuk menyatukan pasangan pengantin melayu dan India muslim dengan dihadiri oleh ramai kaum keluarga terdekat pengantin lelaki yang bukan beragama islam untuk turut sama memeriahkan majlis.
Moga permulaan yang elok ini diberkati oleh Allah. Amin.

Thursday, July 18, 2013

Insan yang lebih baik

Setiap dari kita ingin menjadi insan yang lebih baik. Siapa yang tidak hendak kan. Setiap hari kita sentiasa melihat catatan di dalam diari... adakah apa yang kita inginkan sama ada kehidupan baik di akhirat dan dunia berdasarkan garis panduan yang diajar oleh Rasulullah telah berjaya kita ikut dan laksanakan.  Ianya umpama medan peperiksaan besar yang bermula saat kita dilahirkan ke dunia dan tempoh tamat peperiksaan ketika kita dijemput oleh Allah dan masa tamatnya  tidak dimaklumkan seawal mungkin.

Kita hanya diminta oleh Yang Maha Kuasa untuk sentiasa bersedia semasa berada di dewan peperiksaan tersebut dengan mengikut semua garis panduan dan aturan yang telah ditetapkan.  Allah..Allah..Memang tidak dinafikan ianya bukan mudah walaupun nampak mudah. Ngeri...

Apabila kita memandang buku catatan peribadi, selalu hati ini akan merasa sedih..banyaknya perkara-perkara bodoh yang kita lakukan bertentangan dengan garis panduan dan aturan yang telah ditetapkan. Dalam keadaan sedar, kita tahu...kita telah banyak melakukan kebodohan dan kesalahan...tetapi kita tetap lakukan. Sedihnya...

Hari ini kelas bahasa arab kami digantikan dengan tadabbur  Al Quran. Ayat yang kami tadabbur adalah surah al-anfal ayat 2 hingga 4.

Maksud ayat 2 (surah al-anfal):

Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.


Maksud ayat 3 (surah al-anfal):

(iaitu) orang-orang yang melaksanakan solat dan yang menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.


Maksud ayat 4 (surah al-anfal):

Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka akam memperoleh darjat (tinggi) di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.


Berdasarkan ayat 2 dan 4 di atas, ianya menerangkan ciri-ciri orang beriman iaitu:
a) Gementar hatinya apabila disebut nama Allah
b) Bertambah kuat iman apabila dibacakan ayat-ayat Allah
c) Melaksanakan solat
d) Bertawakal (contohnya apabila Allah duga, mereka berusaha dan selebihnya bertawakal kepada Allah)

Ayat 4 pula menerangkan ganjaran yang diperolehi bagi mereka yang mempunyai ciri-ciri dalam ayat 2 dan 3 iaitu:
a) Memperoleh darjat yang tinggi disisi Allah
b) Mendapat keampunan Allah
c) Mendapat rezeki (syurga)

Allah, bimbinglah aku ke jalan yang lurus iaitu jalan yang diredhai ole Mu. Pandanglah aku dengan kasih sayangmu dan rahmatilah aku.

Friday, July 12, 2013

Ramadhan Datang Lagi

Hari ini sudah masuk hari ke tiga kita berpuasa. Moga amalan ramadhan kita kali ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

Bulan ramadhan sebenarnya bulan latihan untuk membentuk jati diri "ISLAM" yang sebenar-sebenarnya di dalam diri. Berkata memang mudah akan tetapi untuk mempraktikkannya subhanaallah...susahnya. Aku mengatakan diri aku sendiri sebenarnya.

Apa-apa pun kita perlu terus bersangka baik dengan Allah dan sentiasa perbaiki diri setiap masa.

Monday, July 8, 2013

Tak Diduga

Allah masih menguji aku dengan kesihatan badan. Sudah hampir seminggu aku terlantar demam. Tiada sebarang isyarat tetiba sahaja badan aku menjadi seram sejuk hinggakan apabila kaki ini memijak lantai sejuknya terasa sehingga ke tulang....sedangkan badan amat panas membahang. Demam apakah ini disaat semua umat islam dalam persediaan menyambut ramadhan yang tinggal dua hari lagi.

Walau apapun dugaan, dugaan tetap dugaan. Ianya datang tanpa diundang. Sentiasa nasihat diri untuk  bersangka baik pada Allah. Susah, senang, nikmat makan, nikmat pangkat, nikmat harta semuanya milik Allah. 

Apabila kita diberi sedikit kelebihan oleh Allah, jangan kita merasakan kita boleh pegang nikmat tersebut sampai bila-bila dan Allah tidak akan menarik balik segalanya. Ada manusia yang dikurniakan dengan akal yang cukup cemerlang dan ada yang dikurniakan dengan akal biasa-biasa sahaja. Akan tet api banyak berlaku kes tak diduga yang biasa menjadi pemimpin kepada yang cemerlang. Ini juga dugaan

Friday, April 12, 2013

Tanda Lemah Iman

Kuliah hari ini oleh Ustazah Wan Habsah:
  1. Tidak kisah dosa yang dilakukan
  2. Keras hati
  3. Tidak melakukan ibadat secara baik
  4. Malas beribadat
  5. Sempit dada dalam mengamalkan islam
  6. Tidak terkesan dengan bacaan Al Quran
  7. Selalu terlupa untuk berzikir kepada Allah
  8. Tidak merasa marah apabila maruah islam dicabar
  9. Suka menonjol diri untuk perkara yang tidak baik
  10. Sifat bakhil ada dalam diri
  11. Berkata seseorang dengan sesuatu dengan diri sendiri pun tidak mengamal amalan yang soleh
  12. Gembira dengan musibah yang melanda umat islam yang lain
  13. Apabila melihat bencana alam kita tidak kaitkan dengan musibah dari Allah
  14. Memandang rendah atau remeh kepada perkara baik
  15. Tidak ambil berat isu umat islam
  16. Tercabut kasih sayang dikalangan umat islam
  17. Hilang tanggungjawab terhadap agama
  18. Banyak membantah atau berkelahi
  19. Penyebaran perkara tidak betul contohnya hadis palsu