CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, November 26, 2013

Demi masa

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" (Surah Al-Asr)

Apabila menghayati setiap maksud ayat di atas,  jelas peringatan dari Allah betapa ruginya kita jika masa sehari semalam dibiarkan berlalu tanpa melakukan sebarang kebaikan untuk mengumpul saham akhirat. Benar, kehidupan dunia juga penting. Akan tetapi biarlah kehidupan kita di dunia ini berlandaskan ketaqwaan dan setiap inci perjalanan, perbuatan, bual bicara dan ibadat wajib dan sunat dilakukan semata mata kerana Allah. Semata mata kerana Allah. Hadirkan syukur yang ikhlas di dalam hati di masa susah dan senang kita. Waktu diberi kesenangan terlalu ramai yang mudah bersyukur akan tetapi jika bencana melanda terlalu sedikit golongan manusia yang mampu sujud bersyukur kepada Allah kerana terpilih untuk diuji yang mana ianya salah satu cara meraih rahmat dan reda Allah.

Subhanallah, Allah ..hadirkanlah perasaan syukur aku kepada MU disaat susah dan senang aku Ya Allah. Pilihlah aku untuk menjadi salah seorang hamba MU yang mendapat rahmat MU Ya Allah.



Sunday, October 13, 2013

Pengantin yang dirai

Alhamdulillah baru-baru ini seorang lagi adik suamiku bertemu dengan jodoh beliau. Untuk diriku dan seluruh ahli keluarga, majlis dan pengantin yang diraikan ini ada keistimewaannya yang tersendiri. Benar ianya cukup bermakna untuk kami seisi keluarga.

Alis Marlinna atau Ina iaitu singkatan nama yang kami bahasakan untuk beliau adalah adik iparku dan adik ke tiga suamiku yang seramai sepuluh orang  adik beradik. Suatu hari, Ina memberitahu aku "Ina nak kahwin..". Aku yang terpingga-pingga bertanya, "dengan siapa?". Jawab Ina ringkas"dengan Prekash..". Di dalam hati masih tertanya-tanya "siapa Prekash?". Aku pernah bertemu ke.. bisikku di dalam hati. Soalan seterusnya terpacul dari mulut ku. "akak kenal ke?" Ina menjawab, "Akak pernah jumpa sekali rasanya, Ina bercadang untuk kenalkan Prekash kepada akak dan abe nanti". "Abe" merupakan panggilan untuk abang yang sulung dalam masyarakat kelantan. Dengan pengumuman tersebut seluruh ahli keluarga terkejut dan tertanya-tanya siapakah insan yang bernama "Prekash" ini. Walaubagaimanapun, aku percaya semua kami amat terharu dan gembira dengan pengumuman ini. Ina memberi gambaran ringkas kepada kami berkenaan insan yang bernama "Prekash". Melalui perwatakan yang digambarkan ini dan sebagai manusia biasa, kami mula membuat telahan-telahan sendiri.

Apabila tiba masanya untuk kami mengenali dengan lebih dekat bakal suami Ina..segala perasan gundah-gulana manusia terbang disambar angin lalu. Terus-terang aku dapat katakan apabila pertama kali bertentang mata dengan "Prekash", aku dapat rasakan dia mampu menjadi suami yang baik kepada Ina.. adik iparku. Perasaan itu milik Allah. Allah yang hadirkan perasaan itu di dalam hati  aku ketika itu. Moga perasaan itu benar dan diredhoi Allah.
Persiapan majlis perkahwinan mula dibincangkan kerana kedua-duanya hendak laksanakan majlis pada tahun ini juga. Perkara yang baik tidak perlu ditangguhkan. Seperti biasa, suamiku selaku anak sulung bertindak sebagai wakil keluarga bertanggunjawab untuk membentuk Jawatankuasa Penyelaras Majlis dan sudah tentu pembantu 'khasnya' adalah aku diikuti oleh ahli-ahli AJK yang lain iaitu ipar dan biras. 
Alhamdulillah semua urusan majlis tersebut berjalan dengan lancar sekali. Semua yang terlibat amat komited dengan tugasan masing-masing. Ianya amat terserlah di mata setiap insan-insan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan majlis yang sederhana tapi meriah ini. Lebih-lebih lagi di pihak keluarga "Prekash" yang mana jelas terpancar keikhlasan di raut wajah mereka walaupun kami berbeza budaya, agama dan bangsa. Lebih mengharukan lagi dengan kehadiran  keluarga "Prekash" iaitu pakcik-pakcik dan makcik-makcik beliau yang sanggup datang dari jauh iaitu India dan Dubai untuk sama-sama memeriahkan majlis perkahwinan tersebut. Mereka datang bukan dipaksa..mereka datang dengan rela hati apabila mendengar anak saudara mereka yang berada di Malaysia akan mendirikan rumah tangga. Mereka datang untuk berkongsi kegembiraan tersebut dengan Prekash dan keluarganya yang menetap di Malaysia. Subhanallah..hati itu milik Allah..Allah boleh buka hati sesiapa sahaja untuk terima hidayahNYA dan Allah boleh berikan kepada sesiapa sahaja untuk mengecapkan kegembiraan dan memberi kegembiraan kepada sesama insan. Tiada daya kita...
Majlis buka bicara dilakukan oleh adik ipar "Prekash" sendiri lengkap dengan pantun adat melayu dan pantun bersambut dan dibalas kami tanda berbesar hati menyambut kehadiran mereka sekeluarga. Allah..Allah..tiada kekok di antara kami..tiada langkah yang pincang..setiap penjuru majlis kedengaran gelak tetawa dan senyum sentiasa terukir dibibir para hadirin sama seperti majlis perkahwinan keluarga melayu yang lain. Kadi yang dipertanggungjawabkan untuk menyempurnakan akad nikah kedua mempelai juga melahirkan rasa terharu. Menurut beliau, inilah kali pertama sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Kadi, Allah memberi peluang kepada beliau untuk menyatukan pasangan pengantin melayu dan India muslim dengan dihadiri oleh ramai kaum keluarga terdekat pengantin lelaki yang bukan beragama islam untuk turut sama memeriahkan majlis.
Moga permulaan yang elok ini diberkati oleh Allah. Amin.

Thursday, July 18, 2013

Insan yang lebih baik

Setiap dari kita ingin menjadi insan yang lebih baik. Siapa yang tidak hendak kan. Setiap hari kita sentiasa melihat catatan di dalam diari... adakah apa yang kita inginkan sama ada kehidupan baik di akhirat dan dunia berdasarkan garis panduan yang diajar oleh Rasulullah telah berjaya kita ikut dan laksanakan.  Ianya umpama medan peperiksaan besar yang bermula saat kita dilahirkan ke dunia dan tempoh tamat peperiksaan ketika kita dijemput oleh Allah dan masa tamatnya  tidak dimaklumkan seawal mungkin.

Kita hanya diminta oleh Yang Maha Kuasa untuk sentiasa bersedia semasa berada di dewan peperiksaan tersebut dengan mengikut semua garis panduan dan aturan yang telah ditetapkan.  Allah..Allah..Memang tidak dinafikan ianya bukan mudah walaupun nampak mudah. Ngeri...

Apabila kita memandang buku catatan peribadi, selalu hati ini akan merasa sedih..banyaknya perkara-perkara bodoh yang kita lakukan bertentangan dengan garis panduan dan aturan yang telah ditetapkan. Dalam keadaan sedar, kita tahu...kita telah banyak melakukan kebodohan dan kesalahan...tetapi kita tetap lakukan. Sedihnya...

Hari ini kelas bahasa arab kami digantikan dengan tadabbur  Al Quran. Ayat yang kami tadabbur adalah surah al-anfal ayat 2 hingga 4.

Maksud ayat 2 (surah al-anfal):

Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal.


Maksud ayat 3 (surah al-anfal):

(iaitu) orang-orang yang melaksanakan solat dan yang menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.


Maksud ayat 4 (surah al-anfal):

Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka akam memperoleh darjat (tinggi) di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.


Berdasarkan ayat 2 dan 4 di atas, ianya menerangkan ciri-ciri orang beriman iaitu:
a) Gementar hatinya apabila disebut nama Allah
b) Bertambah kuat iman apabila dibacakan ayat-ayat Allah
c) Melaksanakan solat
d) Bertawakal (contohnya apabila Allah duga, mereka berusaha dan selebihnya bertawakal kepada Allah)

Ayat 4 pula menerangkan ganjaran yang diperolehi bagi mereka yang mempunyai ciri-ciri dalam ayat 2 dan 3 iaitu:
a) Memperoleh darjat yang tinggi disisi Allah
b) Mendapat keampunan Allah
c) Mendapat rezeki (syurga)

Allah, bimbinglah aku ke jalan yang lurus iaitu jalan yang diredhai ole Mu. Pandanglah aku dengan kasih sayangmu dan rahmatilah aku.

Friday, July 12, 2013

Ramadhan Datang Lagi

Hari ini sudah masuk hari ke tiga kita berpuasa. Moga amalan ramadhan kita kali ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

Bulan ramadhan sebenarnya bulan latihan untuk membentuk jati diri "ISLAM" yang sebenar-sebenarnya di dalam diri. Berkata memang mudah akan tetapi untuk mempraktikkannya subhanaallah...susahnya. Aku mengatakan diri aku sendiri sebenarnya.

Apa-apa pun kita perlu terus bersangka baik dengan Allah dan sentiasa perbaiki diri setiap masa.

Monday, July 8, 2013

Tak Diduga

Allah masih menguji aku dengan kesihatan badan. Sudah hampir seminggu aku terlantar demam. Tiada sebarang isyarat tetiba sahaja badan aku menjadi seram sejuk hinggakan apabila kaki ini memijak lantai sejuknya terasa sehingga ke tulang....sedangkan badan amat panas membahang. Demam apakah ini disaat semua umat islam dalam persediaan menyambut ramadhan yang tinggal dua hari lagi.

Walau apapun dugaan, dugaan tetap dugaan. Ianya datang tanpa diundang. Sentiasa nasihat diri untuk  bersangka baik pada Allah. Susah, senang, nikmat makan, nikmat pangkat, nikmat harta semuanya milik Allah. 

Apabila kita diberi sedikit kelebihan oleh Allah, jangan kita merasakan kita boleh pegang nikmat tersebut sampai bila-bila dan Allah tidak akan menarik balik segalanya. Ada manusia yang dikurniakan dengan akal yang cukup cemerlang dan ada yang dikurniakan dengan akal biasa-biasa sahaja. Akan tet api banyak berlaku kes tak diduga yang biasa menjadi pemimpin kepada yang cemerlang. Ini juga dugaan

Friday, April 12, 2013

Tanda Lemah Iman

Kuliah hari ini oleh Ustazah Wan Habsah:
  1. Tidak kisah dosa yang dilakukan
  2. Keras hati
  3. Tidak melakukan ibadat secara baik
  4. Malas beribadat
  5. Sempit dada dalam mengamalkan islam
  6. Tidak terkesan dengan bacaan Al Quran
  7. Selalu terlupa untuk berzikir kepada Allah
  8. Tidak merasa marah apabila maruah islam dicabar
  9. Suka menonjol diri untuk perkara yang tidak baik
  10. Sifat bakhil ada dalam diri
  11. Berkata seseorang dengan sesuatu dengan diri sendiri pun tidak mengamal amalan yang soleh
  12. Gembira dengan musibah yang melanda umat islam yang lain
  13. Apabila melihat bencana alam kita tidak kaitkan dengan musibah dari Allah
  14. Memandang rendah atau remeh kepada perkara baik
  15. Tidak ambil berat isu umat islam
  16. Tercabut kasih sayang dikalangan umat islam
  17. Hilang tanggungjawab terhadap agama
  18. Banyak membantah atau berkelahi
  19. Penyebaran perkara tidak betul contohnya hadis palsu

Thursday, April 11, 2013

Menyuruh yang Ma’ruf dan Mencegah yang Mungkar

Semalam topik perbincangan kelas Ustaz Muen berkisar berkenaan “Menyuruh yang Ma’ruf dan Mencegah yang Mungkar”. Di dalam hati terdetik..berat topik ini. Mari kita hayati serba sedikit perkongsian yang dapat saya kutip semasa kelas. Moga ianya memberi manfaat kepada yang berkongsi dan kepada yang tersinggah di laman ini.


Ustaz lontarkan pertanyaan. Apakah maksud muflihun? Seperti biasa, dia yang bertanya dia juga yang akan memberikan jawapan. Maksud muflihun adalah terlepas daripada kemurkaan Allah apabila manusia melakukan tiga perkara yang mana belum berjaya seorang manusia hanya dengan bersolat tetapi dia tidak menyuruh pada yang ma’ruf dan tidak mencegah yang mungkar. Kemungkaran paling hampir adalah yang berada di dalam rumah kita sendiri.

Ciri –ciri manusia yang berjaya dan Allah iktiraf kebaikan:

1) Sentiasa mengajak kepada kebaikan
2) Orang yang tidak berbuat ma’ruf kita mengajak untuk buat ma’ruf
3) Orang di bawah tanggungjawab kita contohnya anak kita buat kemungkaran, kita mencegahnya.

Ayat 104 surah Ali Imran:

‘Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung’


Kupasan ayat:

Sifat pertama mengajak kepada kebaikan: Sesiapa yang mengajak kepada dirinya sendiri, orang itu sebenarnya tidak ikhlas. Buktinya apabila orang tidak sama dengan pandangan beliau dia tidak akan bersetuju.


Sifat kedua: Perkara yang baik adalah yang datang dari agama dan diiktiraf oleh agama islam. Contoh di dalam masyarakat kita hari ini yang mana perkara tersebut bukan ma’ruf tetapi masyarakat mengiktirafkannya ma’ruf . Kebanyakkan majlis perkahwinan sekarang, pengantin membuka aurat dan sebagai tuan rumah (ibu bapa) kita mengajak ke majlis tersebut. Sebenarnya tanggunggjawab ibu bapa mencegah kemungkaran yang mana jika anak itu degil jangan benarkan dia berkahwin. Walaupun kita redha tetapi Allah murka.


Ayat 110 surah Ali Imran:

‘Kamu (umat islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, namun kebanyakkan mereka adalah orang-orang fasik’


Kupasan ayat:

Berdasarkan ayat 110 surah Ali Imran, pertama sekali Allah menyuruh kita berbuat yang ma’ruf, kedua mencegah daripada yang mungkar dan ketiga beriman kepada Allah. Ustaz bertanya lagi. Kenapa beriman kepada Allah, Allah letakkan dikedudukkan ketiga tidak yang pertama? Pelajar diam. Melihat suasana hening tersebut, Ustaz memberi jawapan iaitu setelah manusia melakukan yang pertama dan kedua barulah manusia mendapat yang ketiga. Menurut Ustaz lagi, walaupun kita beriman kepada Allah dalam konteks tidak meninggalkan solat malam iaitu tahajut, sentiasa berpuasa sunat dan menjadi nazir masjid ianya belum mencukupi disisi Allah untuk kita meriah syurga. Ini kerana iman adalah benda dalaman yang tidak nampak dan sukar dibuktikan.

Ustaz juga berkongsi ilmu untuk amalan di mana apabila kita melihat orang sekeliling kita tidak buat yang ma’ruf, kita mengajak beliau kepada yang ma’ruf contonhya, melihat orang tidak puasa, kita ajak beliau puasa, melihat orang buat kemungkaran, kita nasihatkan beliau supaya hentikan perkara buruk tersebut. Tanda keimanan seseorang manusia adalah suka menegur kemungkaran dan menyuruh kepada kebaikan dan bukannya hanya memandang dengan pandangan kosong tanpa melakukan apa-apa untuk mencegah. Hadis sahih yang mana Nabi Muhammad pernah bersabda sesiapa yang telah melihat dari kalangan kamu kemungkaran besar atau kecil hendaklah dia ubah dengan tangan, jika tidak mampu mengubah dengan tangan ubahlah dengan lidah dan jika tidak mampu mengubah dengan lidah, ubahlah dengan hati. Itulah iman yang paling lemah.

Maknanya jika tidak terdapat perasan benci langsung di dalam hati terhadap kemungkaran dan menyuruh kepada yang ma’ruf, kita masih belum beriman kepada Allah. Nabi Muhammad pernah bersabda, jika kamu tidak ada rasa benci maka tidak beriman walaupun solat malam.

Janji Allah di dalam ayat 110 surah Ali Imran, umat Nabi Muhammad adalah umat terbaik akan tetapi banyaknya solat, banyaknya puasa, banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu dan kerap menunaikan fardu haji dan umrah belum tentu menjadi tiket kita ke syurga dan kita beriman disisi Allah.

Umat Nabi Muhammad menjadi umat terbaik disisi Allah kerana menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Jika kita tidak buat satu satu yang dituntut ini maka hilanglah ciri-ciri umat terbaik dan akhirnya kita menjadi umat yang tidak berjaya dan dilaknat serta dijauhkan dari Rahmat Allah (sesat dan kufur kepada Allah). Siapakah umat yang dilaknat itu? Jawapannya adalah orang kafir dari Bani Israel. Ustaz bercerita lagi..tengok..Allah sebut secara jelas Bani Israel di dalam Al Quran. Kenapa begitu? Kenapa dalam ayat yang lain, Allah mengatakan Allah lebihkan Bani Israel?

Lebihkan dan berikan keistimewaan Bani Israel di sini adalah kebanyakkan para nabi dari Bani Isreal tetapi akhirnya mereka dilaknat oleh Allah kerana mereka tidak mencegah kemungkaran. Walaupun pada awalnya bangsa dan umat tersebut merupakan umat terpuji tetapi akhirnya menjadi bangsa yang hina kerana tidak mencegah kemungkaran.

Dalam satu hadith sahih, Nabi Muhammad bersabda ‘Bagaimana kamu pada suatu masa nanti kamu tidak menyuruh yang ma’ruf dan tidak mencegah kemungkaran, Nabi Muhammad bertanya kepada para sahabat siapakah mereka?’ Lalu para sahabat bertanya balik, Mungkinkah umat engkau Muhammad suatu hari nanti tidak menyuruh yang ma’ruf dan tidak mencegah yang mungkar? Nabi Muhammad menjawab ya malah Nabi Muhammad mengatakan lebih teruk dari itu yang mana umat aku nanti akan menyuruh yang mungkar dan cegah yang ma’ruf. Sahabat bertanya lagi. Mungkinkah berlaku yang demikian itu? Nabi Muhammad menjawab ya malah lebih teruk dari itu iaitu benda yang ma’ruf dikatakan mungkar dan benda yang mungkar dikatakan ma’ruf.

Apa yang Nabi Muhammad katakan berlaku pada hari ini contohnya berlaku di mana-mana di mana kadang kadang kita tengok anak saudara kita berjaya dalam pelajaran dan dia tidak menjaga aurat tetapi kita langsung tidak bercakap dan persoalan berkenaan aurat. Kita lebih fokuskan kepada berapa A yang beliau perolehi dapat peperiksaan (masa itu perkara mungkar sudah menjadi ma’ruf). Kekadang sepupu kita melangsungkan perkahwinan. Kita tahu beliau tidak mendirikan solat tetapi kita tidak bertanya berkenaan isu solat dan calon suami dia solat atau tidak. Soalan umum yang sering ditanya adalah lulusan mana? Kerja apa? Kerja di mana? Jawatan apa? Belajar di mana? Apa yang mungkar langsung kita tidak tanya dan cegah. Keadaan inilah yang kita takut yang mana akhirnya umat yang dilaknat oleh Allah. Kekadang ibu-bapa sendiri apabila melihat anak memakai pakaian seksi dan menjolok mata hanya menegur benda yang remeh contohnya lengan baju senget dan tidak menegur pakaian anak yang tidak menutup aurat. Anak buka aurat, buat perkara mungkar..langsung tidak ditegur. Ustaz bercerita lagi....beriman atau tidak ibu-bapa begini? Lebih parah lagi, ibu-bapa yang menganggap perkara itu biasa sahaja.

Oleh kerana itu, ulama menyuruh perkara yang ma’ruf dan cegah kemungkaran menjadi rukun islam yang ke enam. Selama ni kita belajar rukun islam ada lima sahaja. Ustaz meneruskan cerita. Manusia dilaknat oleh Allah kerana tidak solat atau tidak puasa.? Jawapannya adalah tidak mencegah kemungkaran.

Kenapa Allah kata umat Nabi Muhammad umat yang terbaik? Adakah sebab buat rukun islam yang lima atau dia buat tambahan satu lagi iaitu mengajak yang ma’ruf dan cegah yang mungkar.

Ustaz mengatakan dia hendak menekankan perkara ini sebab kekadang kita telah hilang rasa dan perasan. Kekadang berlaku depan mata dan dalam rumah kita kemungkaran tersebut tetapi kita tidak rasa apa-apa. Kekadang anak kita selalu solat lambat. Ustaz bertanya anak-anak muridnya yang tekun mendengar ..Mungkar atau Ma’ruf? Dengan nada yang lemah..anak-anak muridnya menjawab..mungkar Ustaz…

Ustaz memberi contoh lagi. Anak kita yang bersekolah dan beliau mempunyai dua helai pakaian yang mana satu darinya telah koyak dan satu lagi kotor. Ustaz bertanya...agaknya anak kita itu akan pergi ke sekolah atau tidak dalam keadaan dua helai pakaian sekolah beliau begitu? Sudah tentu jawapannya tidakkan. Padahal..kalau dia pergi sekolah pakai baju lain yang bukan ‘uniform’ rasmi sekolah boleh sahaja jika kita melihat dalam kontek keutamaan menutup aurat tetapi sudah tentu pihak pengurusan sekolah tidak akan membenarkan anak kita berada di sekolah kerana dianggap melanggar peraturan sekolah. Dalam keadaan berasingan jika pelajar tidak memakai tudung (yakni menutup aurat) tidak ada undang-undang sekolah melarang atau pelajar tersebut dianggap melanggar peraturan sekolah. Ustaz meneruskan cerita beliau. Nabi Muhammad pernah bersabda ‘Bukan umat ku siapa yang tidak peduli apa yang berlaku pada umat islam yang lain apatah lagi kemungkaran yang berleluasa di luar..Nabi Muhammad tidak mengaku umat…sambil senyum senget Ustaz menambah..walaupun telah hadiri kelas selama lima tahun, pergi masjid solat jemaah setiap waktu, Nabi Muhammad masih belum mengaku umat kerana islam bukan sekadar solat atau puasa sahaja.

Ustaz meneruskan cerita….Allah berkata solatlah kamu dan binalah hubungan dengan Allah..korbanlah kamu untuk orang lain. Allah mencela pendusta agama..adakah orang tidak puasa, tidak solat dan tidak tunai zakat? jawapanya tidakkk.. Allah mencela orang yang tidak pedulikan anak yatim. Itulah pendusta agama. Walaupun solat sampai bengkak kaki tidak ada makna disisi Allah.

Siapa lagi pendusta agama? Jawapannya adalah orang tidak pedulikan pada orang miskin walaupun puasa sunat setiap hari.

Jalan penyelesaian untuk cegah kemungkaran adalah memulakan dengan keluarga kita dahulu dan sebelum keluarga, mulakan dengan diri kita dahulu. Jika kita masih melakukan kemungkaran (tidak menjaga lidah), macam mana hendak mencegah orang di bawah tanggungjawab kita iaitu anak-anak kita daripada tidak melakukan kemungkaran. Menurut ustaz antara sebab anak- anak kita melanggar perintah Allah adalah ibu-bapa mereka sendiri melanggar perintah Allah. Menurut ustaz, dari hadis sahih..jika ibu-bapa masih melakukan maksiat, tempiasnya akan terkena kepada anak-anak yang mana anak-anak susah hendak dengar cakap (degil) dan tidak berminat untuk belajar agama dan tidak mahu membaca Al-Quran. Asasnya ibu-bapa kena perbetulkan diri mereka dahulu. Kenalpasti apa kebaikan yang kita hendak suruh dan apa kemungkaran yang kita hendak larang.

Apabila kita telah melakukan semua perkara wajib dan sunat tetapi masih meneruskan amalam makruh ..takut-takut nanti di padang mahsyar, kita bawa amalan yang cukup banyak tetapi Allah pandang amalan tersebut umpama debu sahaja tiada nilai langsung disisi Allah.

Para sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad siapakah amalan yang banyak itu menjadi debu? Nabi Muhammad mengatakan bahawa mereka itu dikalangan kamu..bangsa arab sendiri..mereka kuat sembahyang malam, puasa sunat..sama seperti kamu tetapi apabila berjumpa benda yang haram, mereka buat sahaja tanpa rasa takut dan bersalah. Tidak mencegah kemungkaran dan yang lebih parah buat perkara mungkar.





Tuesday, April 9, 2013

Hati

Lumrah atau kelemahan diri Sirap sendiri...setelah sekian lama menyepi diri daripada membuat sebarang catatan..terasa tersekat-sekat jari jemari ini untuk memulakan coretan. Jangan berkarat sudah..

Berbalik kepada topik hati, ianya merupakan catatan ringkas yang Sirap kutip daripada kelas Ustaz Muen pada hari ini yang mana Sirap ingin berkongsi di sini untuk peringatan diri dan sesiapa yang tersinggah di blog serba sederhana ini.

Hati manusia akan "berkarat". Oleh itu, kita kena "kilatkan" ia dengan:
1) Memperbanyakkan bacaan Al Quran dan tadabbur
2) Perbanyakkan zikir
3) Qiamullail
4) Selalu bergaul dengan orang soleh.. tidak semestinya di kalangan Ustaz atau alim ulama akan tetapi orang yang tinggi akhlak dan beriman kepada Allah
5) Merendah diri kepada Allah. Ketika sujud di dalam solat, kita bukan sahaja merendah diri secara fizikal tetapi dengan hati dan perasan yang hina mengadap "Pencipta" iaitu Allah.

Thursday, March 14, 2013

Rezeki

Rezeki milik Allah..DIA anugerah kepada siapa yang dikehendakiNYA. Tiada daya kita untuk menarik atau menolak rezeki tersebut. Akan tetapi setiap rezeki yang datang dan pergi bersebab. Walau apa pun  sebabnya kita kena redha dan bersyukur dengan setiap rezeki yang datang dan pergi. Jika rezeki tersebut "meninggalkan" kita, jangan bersedih..mungkin ianya tidak sesuai untuk kita miliki. Jika rezeki tersebut datang bergolek dari sumber yang tidak disangka-sangka..bersyukurlah kepada Allah dengan kurniaanNYA dan gunalah ia untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk anugerah rezeki kepada sesiapa sahaja. DIA berkuasa untuk menarik rezeki di padang yang lain dan dipindahkan ke padang yang lain.  

SABAR

Rancangan hari ini..SIRAP ingin berkongsi serba sedikit ilmu yang dikutip semasa kelas Ustaz Muen semalam...berkenaan sabar.

Tidak akan berjumpa pahala kecuali manusia yang sabar.

Apabila kita kaitkan sabar dengan ujian kesukaran dari Allah, hakikatnya kesukaran tersebut akan bertukar menjadi nikmat yang diidamkan setiap manusia bagi yang melihat dengan mata hati. Subhanaallah.

Sama-sama kita berusaha untuk melihat ujian yang datang itu dengan mata hati..moga Allah pandang kita dengan rahmatnya..Insyaallah.


Thursday, March 7, 2013

Menunggu Masa Sesuai

Kita acap kali apabila hendak melakukan sesuatu perlu menunggu masa yang sesuai. Kekadang masa yang kita rasakan sesuai itu perlu diperuntukkan kepada sesuatu yang lebih penting yang datang menerjah tanpa memberi "Salam".

Ungkapan "Masa itu Emas" telah menyapa minda sejak zaman kanak-kanak lagi. Ianya bagaikan ayat-ayat "standard" yang langsung tidak berbekas dihati. Itulah manusia..sentiasa meletakkan perkara di tempat yang tidak sepatutnya. 

Aku mengata kepada diri sendiri sebenarnya. Dalam perjalanan yang singkat ini..kekadang kita selalu terlupa dan lengahkan sesuatu dengan mengatakan tidak apa.. sekejap lagi boleh buat, esok masih ada dan sebagainya. Alangkah ruginya kita apabila tiba masa yang kita rasa sesuai itu, perkara yang diingini tiada ulang tayangnya dan yang lebih penting jika ianya melibatkan urusan dengan YANG MAHA KUASA (Allah).  

Friday, February 22, 2013

Koleksi Hantaran

Ini adalah hantaran yang Sirap buat untuk adik bongsu semasa majlis pertunangan beliau beberapa tahun yang lalu. Sekarang sudah beranak pinak pun. Hasil keras tangan Sirap..yang colour hijau putih dibarisan hadapan.

Thursday, February 21, 2013

Mengisi kekosongan

Cubaan pertama:

Buffet atau Ala Carte?

Apabila menyebut sahaja berkenaan buffet atau Ala Carte, kita pastinya terbayang makanan enak di hotel ternama...memang itulah kenyataannya yang akan bermain di dalam kotak minda kita..sehingga kita tidak sabar-sabar untuk menikmati makanan tersebut ditambah lagi dalam keadaan perut yang meminta-minta untuk diisi.

Walaubagaimanapun lain pula keadaannya jika buffet atau ala carte tersebut diterjemahkan kepada penyakit. Buffet dikaitkan dengan penyakit yang melibatkan lebih seorang daripada anggota keluarga yang terlibat manakala ala carte dikaitkan dengan penyakit yang dialami oleh seorang anggota keluarga pada satu-satu masa. Maka sudah tentu jawapannya adalah TIDAK kan.   Akan tetapi inilah kenyataan yang terjadi di dalam keluarga kami apabila doktor mengesahkan aku mengidap penyakit "anti oksida" setahun yang lalu yang mana selang beberapa bulan mak aku juga disahkan mengidap penyakit yang sama. Hanya Allah sahaja tempat kami mengadu dan memohon pertolongan. Ini yang terbaik untuk kami. Allah itu maha mengetahui. DIA uji setakat kemampuan kita sahaja. Apabila mengenang kembali detik-detik tersebut seperti tidak percaya kami mampu laluinya. Alhamdulillah Allah menghantar pertolongan kepada kami..yang jauh didekatkan dan yang dekat bertambah akrab. Semuanya dengan izin Allah. Syukur kepada Allah rawatan terakhir aku telah berakhir beberapa hari yang lalu. Walaupun pening dan mengantok tetapi perasan lega dan terharu mengatasi segala rasa dan mak aku juga telah selesai menjalani rawatan beliau cuma kena jalani pemeriksaan susulan setiap 6 bulan sekali.

Ya Allah, aku memohon padaMU Allah masukkan kami dalam golongan hambaMU yang mendapat rahmatMU Allah. Sesungguhnya kami tidak layak untuk memasuki syurga MU tetapi kami takut dan tidak mahu ke neraka MU. Pandanglah kami dengan kasih sayang jangan pandang kami dengan kemurkaan MU. Bimbinglah kami ke jalan yang benar dan jauhkan kami dari jalan yang sesat.

Thursday, February 14, 2013

Bertemu dan Berpisah kerana Allah

Pagi ini membaca coretan Prof Kamil berkenaan Sahabat, Rakan dan Kenalan..minda terus teringat kepada diri sendiri. Setiap kita juga mempunyai pengalaman mempunyai sahabat yang mana ada yang terlalu dekat dihati..ada yang datang menyinggah dan pergi tanpa khabar berita..ada yang menjadi sekejap ada sekejap tiada, ada pertemuan dimulakan dengan kegembiraan dan diakhiri dengan kesedihan, ada pertemuan yang dimulakan dengan biasa-biasa sahaja dan disepanjang perjalanan hubungan tersebut menjadi cukup rapat.

Dunia ini hanya sementara sahaja. Biarlah kita bertemu dan berpisah kerana Allah..kerana Allah semata-mata.

Wednesday, February 13, 2013

Takut dan Sedih

Ustaz wajib kami iaitu Ustaz Muen...di dalam kelas beliau hari ini bertanya kepada anak-anak muridnya.."Masih ingatkah maksud takut dan sedih? rasanya ini adalah kali ke empat saya bertanya"

Mungkin ramai yang ingat..tetapi tidaklah beriya hendak mengangkat tangan untuk menjawab soalan seperti zaman kita kanak-kanak dahulu...yang pastinya...aku memang terlupa..walaupun ustaz telah mengatakan ini adalah kali ke empat soalan tersebut ditanya di dalam kelas.. masa yang berbeza...

Terlebih ubat dalam badan mungkin penyebabnya (Sifat manusia sentiasa mencari alasan).

Apakah maksud takut dan sedih?
Manusia takut kepada perkara yang belum berlaku dan dijangka berlaku dan manusia akan bersedih kepada perkara yang telah berlaku.

Apabila kita renungkan maksud di atas..memang sifat semulajadi manusia akan merasa gelisah dan takut kepada perkara yang belum berlaku dan yang pasti berlaku contohnya hari kita dihisab..sebabnya mudah kerana kita tidak pasti adakah amalan seharian kita ini cukup atau tidak untuk melayakkan kita masuk ke syurga tanpa dihisab atau sekurang-kurangnya dengan hisab yang mudah.








Thursday, February 7, 2013

MIDI

Kita semua sedia maklum bahawa majalah ini adalah untuk golongan 40 tahun ++. Apabila dikenang semula, rasanya baru semalam aku meninggalkan usia belasan tahun, 20an, 30an..Cepatnya masa berlalu. Apakah amalan yang telah aku kutip dan kerjakan sepanjang kehidupan ini?...Terasa terpinggir dan kerdilnya diri ini apabila memikirkan bekalan untuk dibawa berjumpa denganNYA apabila tiba saatnya. Saat itu pasti untuk setiap yang hidup. Ya Allah, apabila saat itu tiba jemputlah aku dalam keadaan bersih dan suci dari kotoran dosa sama ada besar atau kecil. Hindarlah aku dari azabMU Ya Allah. Lindungi aku Ya Allah daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemungkaran MU. Bukakanlah hati-hati manusia dan makhluk MU yang aku gores hatinya untuk memaafkan aku.

Ampunkanlah aku Ya Allah sama ada dosa yang telah dan belum berlaku akibat daif dan jahilnya diri ini. Pandanglah aku dengan kasih sayang Mu Ya Allah dan anugerahkanlah rahmatMU yang tidak terhingga terhadap hambamu yang serba lemah ini. Amin 

Monday, February 4, 2013

Menjaga Lidah dan Jaminan Syurga

Allah Allah..islam itu mudah tetapi yang mudah itulah selalu tergelincir..

Menjaga lidah...sekali pandang..terlalu mudah..apabila marah kita diam..kalau boleh didiklah diri supaya bersabar.. itu lebih baik. Apabila tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara juga diam..anggap itu dugaan Allah untuk tambahkan pahala. Apabila orang bergossip pekakkan telinga, kalau boleh istighfar banyak-banyak..jangan masuk campur.. itu godaan syaitan untuk beratkan timbangan keburukkan kita. Semua ini tidak semudah yang disangka...Aku mengata pada diri sendiri yang sekejap ingat dan insaf dan di masa yang lain melakukan tindakan-tindakan yang tidak digemari Allah ...Itulah manusia..sebaik-baiknya sentiasalah mohon keampunan Allah apabila merasa diri kita hanyut seketika..mohon Allah tarik kita ke jalan yang lurus semula..

Apabila membaca bab menjaga lidah di dalam buku "Orang-Orang dijamin Masuk Syurga" dan salah satu cara adalah menjaga lidah..sungguh mengerunkan.

Abu Hurairah r.a menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang ertinya:

"Sesungguhnya seseorang ada kalanya berbicara dengan suatu ucapan yang diredai oleh Allah dan dia tidak merasa, maka Allah akan mengangkatnya beberapa tingkatan. Ada kalanya seseorang berbicara satu ucapan yang dibenci oleh Allah dan dia tidak merasa, maka dia dilemparkan ke neraka jahanam"

Thursday, January 31, 2013

Sambutan Maulidur Rasul


Pada 29 Jan 2013, pihak syarikat tempat aku mencari rezeki menganjurkan majlis sambutan Maulidur Rasul dan majlis perasmian " Sejuta Mawar untuk Rasulullah S.A.W"...

Mula-mula mendengar "Sejuta Mawar untuk Rasulullah S.A.W"..ingatkan ianya diraikan oleh syarikat kami sahaja..rupanya seluruh dunia..moga ada keberkatan di situ dan ada hati-hati yang diberi hidayah oleh Allah..amin.

Sempena majlis kali ini..penceramah jemputannya adalah Tuan Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki. Majlis ini juga diserikan dengan alunan nasyid oleh kumpulan nasyid Qasidah Al Sofa. Topik ceramah Tuan Syeikh kita berkisar bagaimana perjalanan Rasulullah untuk menyeru manusia supaya menyembah Allah..diuji pada peringkat awal di bumi kelahiran sendiri iaitu Mekah...baginda berhijrah ke Madinah sehingga beliau berjaya mendapat kemenangan besar dan islam dihormati..Apabila baginda kembali ke Mekah untuk pembukaan Kota Mekah..beliau sedikit pun tidak membalas dendam kepada "mereka-mereka" yang menghina, mencaci dan melakukan pelbagai kejahatan terhadap beliau dahulu..Itulah Rasulullah...Insan terpuji kekasih Allah yang sepatutnya menjadi idola dan panduan kehidupan harian kita..

Setiap penceramah ada aura dan keistimewaan tersendiri untuk membuatkan hati hadirin tersentuh untuk mendengar setiap patah-patah perkataan yang keluar dari mulut beliau. Itulah anugerah Allah kepada siapa yang DIA kehendaki..Walaupun cerita itu selalu kita dengar..tetapi apabila keluar dari mulut yang berbeza ianya menjadi seperti udara nyaman yang menyapa muka dengan lembut dan perasan tenang terus ke hati. Subhanallah..

Sentiasalah menghadirkan diri ke majlis "ilmu". Banyak manfaatnya..moga-moga timbangan amal kita semakin berat dan perbuatan buruk berkurangan..dan moga amal dapat tampung perbuatan buruk .Aku mengingati diri sendiri yang terlalu daif ini...


Friday, January 18, 2013

Kelas Ustazah Zawiyah...Jumaat 18 Januari 2013

Petikan ringkas daripada kuliah bulanan Ustazah Zawiyah..

..Manusia dianugerahkan Allah dengan nafsu dan akal...malaikat pula dengan akal tanpa nafsu..

Allah berfirman " hambaKU yang mukmin lebih aku cintai daripada para malaikat yang ramai"

Insan yang bagaimanakah yang mendapat penghargaan yang setinggi ini..Menurut Ustazah, insan yang menjadi pilihan itu adalah yang kuat beribadat dan istiqomah dalam melaksanakan solat sunat.

Semasa kelas tengah hari tadi, Ustazah berkongsi dengan kami amalan solat sunat yang jika boleh kita istiqomah dalam melakukannya.

a) Sunat Zawal: Sebelum masuk waktu Zohor iaitu 15 minit sebelum masuk waktu 
b) Sunat isyra': 10 minit selepas waktu syuru'

Petua yang dikongsi Ustazah:
1. Amalan perbanyakkan solat sunat amat dituntut di dalam islam yang mana dengan izin Allah  dengan perbanyakkan amalan solat sunat..solat wajib kita tidak akan tinggal. Jika kita hanya fokuskan kepada solat wajib sahaja dan tidak mengerjakan yang sunat..ada kemungkinan yang wajib itu kekadang terbabas. Selain itu, amalan solat sunat juga akan menjauhkan kita dari kepapaan (Allah cukupkan rezeki kita..insyaallah)

2. Apabila kita susah hati..kita perbanyakkan sedekah.

3. Orang bijak akan peruntukkan tiga waktu iaitu waktu untuk munajat pada Allah, waktu untuk menghisabkan amalan kita di dunia (mengenangkan apakah kebaikan dan "keburukkan" yang kita telah lakukan..yang "buruk" kita cuba kikiskan dan yang baik kita teruskan amalannya) dan waktu untuk makan dan minum.




Thursday, January 17, 2013

Bacaan Rohani

Tengah hari tadi sewaktu singgah di kedai BAKIT terpandang buku ini..terus hati terpikat dan ingin meneroka isinya...semua kita ingin masuk ke syurga..tanyalah sesiapa sahaja. Kekadang keinginan yang tinggi untuk menempatkan diri di tingkat teratas syurga menjadi jauh kerana aku sedar diri ini dan amalan yang tidak seberapa. Apabila berbual santai dengan teman-teman selepas kelas Ustaz Muen..ucapan begini selalu terkeluar dari mulut kami "kalau macam ini kita duduk depan pintu syurga pun jadilah"



Wednesday, January 16, 2013

Kelas Ustaz Muen..catatan sewaktu kelas tadabbur al quran

Seperti biasa banyak ilmu yang manfaat yang kami kutip dari Ustaz Muen..daripada semua ilmu itu yang paling berbekas di hati aku semalam dan ingin dicoretkan disini adalah berkenaan syarat ibadat kita diterima Allah..

1. Ikhlas

2. Jaga pahala supaya tidak menjadi hak orang. Elakkan mengumpat dan mengata orang..jangan mengungkit apa yang telah kita buat dan jangan dengki dengan orang

3. Menepati syariat islam


Pecah Panggung

Sebenarnya nota aku ini..walaupun terlalu sedikit..tetapi tidak lah terlampau sedikit..ingatkan sudah disiarkan..rupanya hilang ditengah jalan...agak malas hendak menulis semula..ini adalah cerita berkenaan sambutan hangat dari warga TM kepada Ustaz Azhar Idrus..kita saksikan gambar-gambar berikut..tidak cukup kerusi ada yang bersila..apabila ruang semakin terhad..berdiri pun berdirilah..

Warga TM yang berkumpul seawal jam 12 tengah hari...majlis bermula 12.30 tengah hari


Kedatangan Ustaz Azhar Idrus 

Suasana di pintu Utama TM Convention Centre usai sessi "Tanyalah Ustaz" selesai


Tuesday, January 15, 2013

Rahmat

Surah Yusuf, ayat 53:

"..sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan kecuali orang-orang telah diberi rahmat oleh Allah maka ia terselamat dari hasutan nafsu. Sesungguhnya Allah Maha pengampun, lagi maha mengasihi"

Friday, January 11, 2013

Solat Ghaib: Ustazah Ya Jamiq

Alhamdulillah.. hari ini aku belajar cara solat ghaib..ianya sunat dilakukan apabila kita mendengar khabar "saudara kita" meninggal dunia..dan kita tidak mampu untuk melawat jenazah beliau sebab kekangan masa dan jarak..oleh itu, kita boleh solat ghaib untuk beliau..

Caranya seperti yang diajar oleh Ustazah Ya Jamiq sebentar tadi adalah:

1) Niat solat ghaib (contoh untuk wanita)
Sahaja aku solat ghaib atas mayat (sebut nama si polan) 4 kali takbir farhu kifayah kerana Allah Taala.

2) Takbir pertama..dan baca al fatihah

3) Takbir ke dua dan baca selawat

4) Takbir ke tiga dan baca doa berikut:
"Allah hummaghfirlaha warhamha wa'afiha wafu'anha"

5) Takbir ke empat ..baca doa berikut:
" Allah humma latahrimna ajrohu walataftinna ba'dahu waghfirlana walahu"

Akhir sekali bagi salam macam biasa.


Wednesday, January 9, 2013

Rukun Syukur

Selamat tahun baru 2013. Terasa seperti baru sahaja mengharungi tahun 2012...alhamdulillah kami sekeluarga diizinkan Allah untuk menempuh ujian dan Allah mudahkan urusan kami..semuanya dengan izin Allah..kami cuma pemegang amanah Allah sahaja..

Berbalik kepada rutin kelas tadabbur al Quran bersama Ustaz Muen..saya tertarik untuk berkongsi berkenaan rukun syukur yang disampaikan oleh Ustaz yang mana terdapat tiga rukun syukur iaitu:

a) Syukur dengan hati - Nikmat yang kita perolehi 100% dari Allah..bukannya usaha kita..mendalam maksudnya..nampak mudahkan...yang mudah itu perlu dijaga supaya tidak mudah mengelongsor..

b) Syukur dengan lidah: Kenyataan standard "Alhamdulillah berkat usaha bersungguh-sungguh selama ini saya berjaya mendapat kejayaan ini pada hari ini"..Allah..rupanya niat ku tersasar tanpa disedari..kekadang kita terlupa..apa yang kita lakukan, bakat, nikmat, rezeki dan kejayaan yang kita perolehi semuanya pemberian Allah..Allah pilih kita untuk dapat semua ini..semua atas belas ehsan Allah..Allah memberi kepada siapa yang Dia kehendaki dan Allah boleh tarik semua limpah kurnia dari siapa sahaja..tiada daya kita untuk menahan pemberian dan tarikan limpah kurnia..besarnya mainan dunia..
"Alhamdulillah dengan izin Allah saya mendapat kejayaan ini"

c) Syukur dengan anggota badan: Contoh riba itu haram disisi Allah. Oleh itu, kita jauhkan riba dari kehidupan dan urusan harian kita.