CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Monday, December 31, 2012

Surah Yunus (Ayat 12)

Terjemahan ayat 12 (Surah Yunus):

"Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan".



















Nota:Jauhkan diri ini Ya Allah dari golongan yang melampaui batas itu.  

Wednesday, December 26, 2012

Makan lagi...

Kuih cara berlauk

Monday, December 24, 2012

Makan makan

Sempena cuti sabtu, ahad dan isnin..antara aktiviti sirapmadu..


 







Friday, December 21, 2012

Kuliah Ustazah Zawiyah

Aku agak terlewat hadir ke kelas hari ini..bila sampai.. secara pandangan mata kasar tempat semua penuh dengan hadirin yang pada aku ternanti-nanti kuliah Ustazah Zawiyah yang diadakan sebulan sekali di tempat kami. kekadang lebih lama dari itu..Tetapi itulah yang dikatakan rezeki Allah kepada hambaNya..Jika sudah rezeki kita..lambat atau cepat kita sampai ke destinasi di tuju bukan alasan untuk kita mendapat apa yang diingini ....Dengan izin Allah tempat duduk ada untuk aku, Nad yang berbadan dua dan Kak Mai.

Hari ini ustazah berkongsi ilmu berkenaan bersegera melakukan kebaikan.

"Bersegeralah melakukan kebaikan..itu tandanya Allah sayang dan mencintai kita". Contohnya jika kita telah memasang niat untuk menghadiri majlis agama tetapi apabila tiba waktunya ada saja "hal" yang perlu diselesaikan yang mana ianya menjadikan kita berada dalam dilema sama ada meneruskan niat yang telah dipasang seawal dulu sebelum "hal" datang menerjah atau memilih untuk menyelesaikan urusan "hal" yang hadir kemudian. Memang sukar untuk membuat keputusan apabila kita berada dalam situasi ini. Hanya pada Allah kita memohon pertolongan..mohonlah pertolongan Allah walaupun dalam perkara sekecil ini. Insyaallah Allah mudahkan urusan kita dan menghadirkan ilham yang terbaik yang mana patut didahulukan.

Semasa kelas..ustazah juga menerangkan kepada kami bahawa kita kena sentiasa merebut untuk melakukan kebaikan..moga dengan izin Allah..DIA membalas kebaikan kita itu dengan yang lebih baik lagi dan Allah mengampunkan dosa-dosa kita selagi kita tidak mensyirik atau menduakan Allah. Walaubagaimanapun, dosa kita sesama manusia, kita dituntut untuk memohon maaf dengan manusia.

Kekadang sukar untuk kita mencari orang yang kita lakukan kesalahan sama ada orang itu telah tiada di dunia ini, sukar untuk memaafkan kita atau kita tiada alamat terkini.

Salah satu jalan selamat adalah kita sentiasa memaafkan orang..macam "familiar" saja ayat keramat ini..apa-apa pun itulah yang dituntut..kita semua sebagai hamba Allah ini kena sentiasa memaafkan orang lain secara ikhlas..bukan ikhlas tapi jauh..moga dengan kebaikan ini Allah lembutkan dan bukakan hati-hati orang yang pernah kita lakukan kesalahan untuk memaafkan kita.

Kita semua hamba Allah yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Oleh itu, sentiasalah maaf memaafkan sesama manusia dan perbanyakkan amalan kebaikan contohnya ringankan tangan kita bersedekah terutama kepada orang yang paling hampir dengan kita (suami pun boleh)... tiada rugi apa-apa malah menguntungkan kita juga semasa berada di padang mahsyar nanti. Insyaallah dengan kebaikan kita itu ianya dapat menampung kesalahan-kesalahan kita semasa di dunia..Insyaallah walaupun hanya tinggal satu kebaikan setelah ditolak "semua hutang-piutang" kita boleh masuk ke syurga.

Wajah Baru

Wahhh...permaidani  Surau Besar kami berwajah baru...Alhamdulillah..Dua minggu lepas Surau Besar Menara TM dan "anak-anak surau" di kawasan sekitarnya ditutup sementara untuk kerja-kerja menukar permaidani. Moga Allah berikan keberkatan kepada semua ahli jemaah yang berkunjung ke sini.

Wednesday, December 19, 2012

Khusyuk dalam Solat

Pelajaran berkenaan "Khusyuk dalam Solat" masih berbaki lagi rupanya. Aku pula tersilap membawa buku ke kelas hari ini..terbawa buku "memesan kursi tertinggi di syurga". Sirap..sirap..

Apabila berbicara berkenaan Khusyuk dalam solat seperti tiada penghujungnya. Begitu ramai alim ulama yang membincangkan isu ini yang mana jawapan paling "standard" adalah kita kena faham makna setiap perkataan dan ayat yang dibaca di dalam solat..ya..betul..insyaallah kita faham maksud al fatihah walaupun kita berada di dalam kategori yang tidak pandai berbahasa Arab...tetapi bagaimana hendak khusyuk dengan segala macam dugaan yang datang, melintas dan menerjah bertubi-tubi seperti senapang yang tidak akan kehabisan peluru.

Di sini aku ingin berkongsi beberapa amalan untuk khusyuk dalam solat seperti yang dikongsikan oleh Ustaz Muen dengan anak-anak muridnya termasuklah aku.

a) Persiapkan diri kita untuk solat. Ianya dimulai dengan mendengar azan dan mengikutinya berdoa azan, memperbaiki wuduk, berdoa selepas wuduk, melakukan siwak (gosok gigi) sebelum solat, mempersiapkan diri untuk solat dan menunggu waktu solat. Jangan bergegas solat ketika waktu kecederaan (hampir waktu solat berikutnya). Jika boleh kita perlu meninggalkan urusan dunia 15 minit sebelum solat untuk mengelakkan kita terbawa-bawa perkara yang boleh menghilangkan khusyuk kita di dalam solat.

b) Thoma'ninah iaitu berhenti sejenak pada setiap rukun-rukun solat.

c) Ingat kematian saat solat.

d) Tadabbur (menghayati) ayat-ayat Al quran yang dibaca ketika solat.

e) Kita juga disunatkan membaca أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
dan tiup ke sebelah kiri sebanyak 3x untuk menghalau syaitan yang menganggu kita dalam solat..jika kita terasa ada gangguan ketika itu.

Nota:
* Syaitan akan menghantar bala tentera yang ramai untuk menganggu solat kita..jika mereka tidak berjaya mengheret kita untuk memikirkan perkara- perkara lagha..mereka akan mengheret kita untuk memikirkan perkara-perkara baik contohnya mengingati amalan kebaikan yang kita rancang untuk melakukan..itulah tipu daya syaitan..seboleh mungkin mereka akan mengheret kita bersama-sama dengan mereka ke neraka..


Thursday, November 8, 2012

Perkongsian ilmu

Sesama menyelak helaian demi helaian blog Ustaz Pahrol..terjumpa kata-kata berikut..moga ianya memberi semangat dan manafaat untuk kita semua

"Apabila inginkan kejayaan, tetapi sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa, kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada orang yang gagal.”




Thursday, November 1, 2012

Amalan padamkan dosa

Semalam..kelas Ustaz Muen.. tajuknya adalah "Memesan Kursi Tertinggi di Syurga"..sungguh indah didengar menusuk sehingga ke jantung hati dengan angan-angan yang indah dan berbunga..Syurga impian setiap manusia islam yang hidup di atas muka bumi ini...bersediakah kita??..itu yang menjadi tanda tanya dan kekadang jiwa bergetar kencang jika tiba saat dijemput kembali..bagaimanakah kita..selalu kita mendengar ramai yang berkata...islam itu mudah tetapi jangan diambil mudah...kata-kata yang ringkas tetapi membawa tafsiran yang cukup mendalam untuk kita renung dan fikirkan..

Di sini aku ingin berkongsi amalan padamkan dosa yang aku kutip daripada ceramah Ustaz semalam. Moga amalan ini dapat menjadi panduan kita bersama untuk lebih berhati-hati dalam melalui hari-hari sementara di atas muka bumi ini dan persediaan bekalan untuk alam yang kekal.

1. Langkahkan kaki kita untuk sembahyang berjemaah di masjid
2. Duduk di dalam masjid..menunggu untuk solat-solat yang berikutnya. Amalan ini boleh memadamkan dosa-dosa kecil kita tetapi tidak dosa besar. (Dosa Besar: suami dayus, riba, derhaka kepada ibu bapa dan syirik). Surah an Nisa ayat 31 yang bermaksud "Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang mengerjakannya, niscaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu dan akan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)" 

3. Sempurnakan wuduk dalam keadaan tidak selesa (cuaca terlalu panas atau sejuk)
4. Suka memberi makan kepada golongan memerlukan contoh fakir miskin
5. Menutur kata-kata dengan nada lemah lembut
6. Cintakan golongan miskin dan anak yatim
7. Sentiasa memohon kepada Allah untuk dijauhkan dari fitnah semasa hidup dan mati. contohnya malas melakukan ibadat, malas membaca al-quran, malas zikir dan solat sunat


Nota: banyaknya terkena!!! jangan lemah.. lawan-lawan...mengingatkan diri sendiri...

Monday, October 22, 2012

Solat

Pagi tadi, sewaktu melewati tempat Lotuslily, beliau sedang mendengar ceramah Ustaz Kazim..berkenaan 10 golongan solat yang tidak diterima Allah. Gerun mendengar..seram sejuk satu badan. Bayangkanlah solat kita 5 waktu sehari semalam ditambah dengan solat sunat..satu pun tiada nilai disisi Allah. Aku tidak mahu bercerita panjang berkenaan 10 golongan solat yang tidak diterima Allah (boleh layari di Youtube) akan tetapi aku ingin berkongsi berkenaan 9 peringkat solat kita..agaknya dimanakah kita. Terima kasih saudara (maklumat yang dikongsikan di Internet) yang berkongsi ilmu yang manfaat ini. Moga lebih ramai lagi yang memperolehi manfaat selepas ini. Saya doakan saudara dirahmati Allah dengan perkongsian ilmu ini.

Golongan 1.

Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tak sembahyang,bahkan ramai juga yang tak tahu nak sembahyang. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafi kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.

Golongan 2.
Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara resmi atau tak resmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada.Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala.

Golongan 3.
Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang,tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah, bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.

Golongan 4.
Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya, tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafaznya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang,orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.

Golongan 5.
Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.

Golongan 6.
Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali didalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan didalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai Sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsu nya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah.Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa apa.Allah belum lagi cinta orang ini.

Golongan 7.
Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan 8.
Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapat menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah)

Golongan 9.
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kalau ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan didalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinyahanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.



Wednesday, October 17, 2012

Rezeki

Rezeki..ianya boleh ditafsirkan dalam pelbagai bentuk, keadaan dan perkara. Apabila Allah kurniakan nikmat dalam bentuk,rupa dan keadaan yang lain kekadang kita masih menangisi kurniaan lain yang kita tidak dapat. Kita lupa Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk setiap mahkluk ciptaanNYA. Hatta, jika orang yang kita harapkan untuk berada disamping dalam keadaan kita amat memerlukan tetapi tiada disisi..tetiba datanglah lintasan hati untuk menambahkan perasan pertama..hindarkan perasan dan mainan itu. Bersyukurlah apa yang diberikan Allah dan bersyukurlah apa yang dihindarkan olehNYA. Itu yang terbaik untuk kita.

Tuesday, October 16, 2012

Kelas-Kelas makanan Rohani

15 October 2012: Kelas Ustaz Hasnan

Kelas yang dikendalikan oleh Ustaz Hasnan adalah berkenaan solat. Tajuk ini nampak mudahkan.. tetapi yang nampak mudah itulah kekadang dipandang sambil lewa.

Semasa kelas, Ustaz menerangkan bahawa hukum meninggalkan solat berdasarkan pandangan beberapa ulama yang mana menurut pandangan Mazhab Hanafi, orang yang meninggalkan solat secara sengaja dikira fasik dan boleh dikenakan hukuman penjara. Jika golongan ini tidak bertaubat mereka boleh dikenakan hukuman sebat sampai mati. Apabila kita menjauhkan diri dari solat, kita tidak berkeupayaan untuk menghalang diri daripada melakukan perkara mungkar..sebab itulah solat itu tiang agama. Jika tiada tiang atau reputnya tiang maka semua struktur bangunan akan runtuh.

Rukun solat yang pertama adalah niat. Perkara yang cukup mudah..cuma kena tahu kita hendak solat apa. Pergerakkan pertama dalam solat adalah mengadap ke arah kiblat..hatta kena pegang pada kerusi, kita kena sedaya upaya berdiri dan bersedia untuk niat semasa takbiratul ihram. Jika kita tidak mampu untuk berdiri tegak tidak wajib datang ke masjid untuk solat berjemaah.

Sunat angkat tangan dengan sempurna
a) Mengadap dua tapak tangan ke arah kiblat
b) Condongkan sedikit hujung jari jemari ke arah kiblat
c) Jarakkan sedikit jari jemari secara sederhana
d) Dalam keadaan membuka kedua-dua tangan
e) Selarikan hujung jari jemari atas telinga
f) Tapak tangan selari dengan bahu
g) Baca doa iftitah

Hukum pejam mata:
Pelbagai pendapat berkenaan hukum pejam mata ini yang mana ada yang mengatakan bahawa hukumnya makruh dan sebagainya. Menurut pendapat Imam Nawawi, tidak makruh pejam mata semasa solat jika dengan memejam mata itu dapat meningkatkan tahap khusyuk solat kita.

16 October 2012: Kelas Tadabbur Al-Quran Bersama Muein

Nota ringkas kelas:

a) Hukum memakai rantai bagi lelaki adalah haram 
b) Hukum merokok adalah haram
c) Tidak boleh mencintai suami, isteri, anak-anak, harta dan pangkat sama dengan cinta kepada Allah. Boleh menjadi syirik.
d) Umat sebelum Nabi Muhammad, solat mereka tiada rukuk.
e) Suami dan ayah yang tidak bersolat berjemaah di masjid tidak cintakan Allah...kesannya adalah solat tidak khusyuk.
f) Apabila Allah cintakan kita, Allah akan mendorong kita untuk melakukan perkara yang disukai dan hindarkan kita daripada perkara yang dibenci atau dilarang.
"Matanya adalah mataKu, telinganya adalah telingaKu, tanganya hanya akan melakukan apa yang Aku redha sahaja"

Friday, October 12, 2012

Kelas Ustazah "Ya Jamiq" (gelaran kami..aku & USJ)

Kelas agama hari ini dikendalikan oleh Ustazah "Ya Jamiq"...gelaran yang aku dan USJ berikan..sebab, melalui Ustazah inilah.. kami mengenali dan mula mengamalkan "Ya Jamiq"...

"Ya Jamiq"..adalah amalan yang boleh diamalkan apabila kita kehilangan barang-barang dan mendoakan agar barang tersebut dijumpai dengan izin Allah. Caranya adalah dengan menyebut "Ya Jamiq" seberapa banyak yang boleh sama ada usai selepas sembahyang dan di waktu-waktu yang lain. Insyaallah, jika Allah mengizinkan, barang yang hilang tersebut akan dijumpai semula.

Hari ini, kami dikongsikan dengan amalan berikut sebagai salah satu ikhtiar untuk mengubat dan menyembuhkan penyakit badan dengan izin Allah.

a) Istighfar sebanyak 3x
b) Al-fatihah sebanyak 3x
c) Selawat sebanyak 3x
d) Memohon supaya Allah menyembuhkan penyakit yang kita hadapi dengan ubat yang kita akan makan/ambil
e) Selepas itu barulah makan/minum ubat

Tuesday, October 2, 2012

Kelas Tadabbur Al-Quran bersama Ustaz Muen

Hari ini kami sama-sama tadabbur ayat 37 dari surah al-baqarah atas bimbingan ustaz Muen.

Maksud ayat (ayat 37, surah al-baqarah):
"Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya, lalu Dia pun menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Penerima taubat, maha Penyayang"

Semasa kelas tadi, Ustaz juga berkongsi ilmu berikut:

a) Hadis sahih riwayat Abdullah bin Umar, berkenaan zikir memohon keampunan dari Allah dan memohon supaya taubat diterima oleh Allah . Baca 100 kali sehari.
"Rabbi-ghfir-lee wa tub `alayya innaka anta-t-tawwabu-l-ghafoor."

b) Jenis-jenis sabar:
1) Sabar untuk meninggalkan larangan Allah
2) Sabar untuk melakukan perintah Allah
3) Sabar hadapi dugaan
* Yang paling susah hendak dilakukan adalah sabar untuk meninggalkan larangan Allah

Maksud sabar adalah menahan nafsu dari marah dan menahan lidah dari mengeluh.

c) Kalau kita berada di jalan Allah dan yakin kekuasaan Allah, kita tidak takut dengan kehidupan di dunia. Bila kita sabar, insyaallah solat kita semakin khusyuk. Orang yang beriman  tidak takut apa yang akan jadi dihadapan dan tidak sedih apa yang sudah berlalu.

d) Tanda ahli-ahli syurga adalah:tidak pernah risau, sedih dan takut.


Impianku

Semalam ada kelas sirah...bersama ustaz Anzaruddin..semasa kelas, ustaz ada menceritakan bahawa di awal penghijrahan nabi dan para sahabat dari Mekah ke Madinah..bandar ini dahulunya banyak penyakit dan cuacanya tidak se nyaman sekarang..berkat doa nabi..penyakit atau wabak  yang melanda Madinah telah dipindahkan ke tempat lain yang tiada berpenghuni. Selain dari itu, setelah agak lama berpisah dengan saudara mara dan kampung halaman, timbul perasan rindu golongan para sahabat kepada kampung halaman iaitu Mekah dan ahli keluarga yang ditinggalkan. Oleh itu, nabi telah mengajarkan mereka doa pengubat rindu..
"Ya Allah datanglah sayang kami pada Madinah seperti sayang kami pada Mekah atau lebih hebat lagi dan perelokkanlah tempat ini". 

Menurut kawan-kawan yang pernah sampai ke Madinah, bandar ini nyaman dan tenang sekali..Sebenarnya ianya menjadi impianku juga untuk ke sana..bandar yang penuh barakah..Moga Allah permudahkan impianku ini.

Thursday, September 27, 2012

Membentuk Jiwa

Kelas Ustazah Mariam:

Saya masuk kelas agak lambat sedikit hari ini..inilah beberapa perkara yang sempat dipetik.

6 kebaikan yang patut dilakukan oleh kita sebagai seorang muslim:
a) Jihad perangi musuh 
b) Tidak berdebat atau mengelak pergaduhan walaupun ternyata kita yang betul
c) Puasa ketika cuaca yang panas lebih baik daripada cuaca sejuk atau nyaman
d) Mengambil wuduk di kala cuaca sejuk
e) Sembahyang tepat pada waktunya walaupun suasana ketika itu terlalu panas atau terlalu sejuk
f) Sabar hadapi musibah

Jangan tinggal 3 perkara sehingga ke akhir hayat kita:
a) Solat witir
b) Puasa 3 hari setiap bulan (hari ke 13, 14 dan 15)
c) Solat dhuha

Tuesday, September 25, 2012

Kelas Ustaz Fauwaz

Masa kelas Ustaz Fauwaz beberapa minggu yang lalu..beliau bertanya di dalam kelas.. "kenal tak Zainab Al-Ghazali?"..ramai rakan-rakan sekelas nampak seperti tidak kenal (mungkin prasangka aku sahaja) sebab aku juga tidak mengenali siapa Zainab Al-Ghazali yang hebat ini..

Siapa Zainab Al-Ghazali ini... tertanya-tanya aku di dalam hati..Selepas kelas, aku memaklumkan kepada rakan sepejabat berkenaan tokoh wanita islam moden yang hebat ini. Dengan lajunya kawan aku ini mencari maklumat di Internet...wahhh..memang hebat..langkah seterusnya aku membuat panggilan ke Pustaka Salam bertanyakan berkenaan buku "hari-hari dalam hidupku" karya Zainab Al-Ghazali.

Akhirnya..aku membuat tempahan...insyaallah beberapa hari lagi buku tersebut akan berada di tangan ku..tidak sabar rasanya..tetiba macam ada tarikan magnet yang kuat untuk aku memiliki dan membaca buku ini. Moga buku ini memberi banyak manfaat...Insyaallah semuanya dengan izin Allah.


Kata-kata Zainab Al-Ghazali yang dipetik dari blog seseorang:

"Hidup ini terlalu singkat untuk menjadi orang biasa. Perlu jadi yang luar biasa untuk mendapat tempat yang luar biasa di akhirat kelak.."

-Zainab Al-Ghazali-

 

Tuesday, September 4, 2012

Kelas Tadabbur Bersama Ustaz Muein

Kelas hari ini masih lagi Surah Al Baqarah, ayat 34:

Terjemahan ayat:

" Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam!" Maka mereka pun sujud kecuali iblis. Ia menolak dan meyombongkan diri, dan ia termasuk golongan yang kafir"

Pengajaran ayat:
  1. Berdasarkan penerangan Ustaz tadi, sujud disini bermaksud sebagai tanda hormat yang 'tidak berlebih-lebih' kepada Nabi Adam atas perintah Allah. Kita sebagai manusia dilarang sujud kepada sesama manusia walau setinggi manapun pangkat manusia tersebut di dunia ini. Kita hanya boleh sujud pada Allah sahaja.
  2. Iblis asalnya baik dan ketua kepada para malaikat..berdasarkan 'surah al Kahf', Iblis berasal daripada golongan jin. Allah telah mengangkat darjat Iblis kerana sifat taat kepada Allah...tetapi semua sifat mulia tersebut hilang sekelip mata apabila dia ingkar dengan perintah Allah untuk 'sujud' kepada Nabi Adam. Pengajaran disini adalah..yang 'dikira' Allah adalah penghujung kehidupan kita...

Oleh itu, sentiasalah kita memohon rahmat dari Allah dan memohon supaya Allah akhiri hayat kita dengan pengakhiran yang baik.

Monday, September 3, 2012

Marhaban

Hari Jumaat (31 Ogos 2012):

Jiran sebelah bertanya suami .."Ada dapat kad jemputan ke, malam nanti ada marhaban..rumah abang pun ada dalam senarai"..dengan selamba suami ku menjawab tiada..

Bila selongkar peti surat..."adaa....arggghh?>@####

Apa kita hendak buat ni..pada mulanya kami mengambil keputusan untuk tidak turut serta dalam majlis  tersebut tetapi setelah mendapat serba sedikit maklumat berkenaan tujuan majlis iaitu untuk mengeratkan hubungan silatulrahim warga "Taman" kami..akhirnya kami setuju..walaupun pada hakikatnya kami tidaklah terlalu bersedia..tambahan pula aku masih menjalani rawatan.

Untuk memudahkan urusan, kami menempah bihun goreng di kedai mamak  berdekatan dengan rumah kami (siap dibungkus) dan membeli air kotak untuk 30++ tetamu. 

Marhaban di rumah kami bermula lebih kurang pukul 10 malam. Memandang rombangan marhaban tersebut semuanya lelaki (golongan dewasa dan kanak-kanak), aku mengambil pendekatan mengasingkan diri di tingkat atas dan membiarkan suami ku melayan setiap tetamu. Rombongan tersebut singgah di setiap rumah selama 15 minit sahaja...suasananya agak meriah. Sebenarnya inilah kali pertama aku menyaksikan majlis sebegini..selama ini cuma mendengar cerita sahaja. Walaupun kami kurang persediaan, alhamdulillah majlis tersebut berjalan lancar..Moga Allah memberkati majlis ini dan semua tetamu berpuas hati dengan hidangan yang cukup sederhana yang kami sajikan.













Thursday, August 30, 2012

Aktiviti Kerohanian

Hari ini tiada "Kelas Wajib"...cuma menghadiri ceramah harian di surau pejabat sebelum solat zohor berjemaah...isi ceramah berkisar kepada peperangan Badar dan Ustaz juga menyentuh kekuatan fizikal bangsa Arab.. selain daripada balasan terhadap puak-puak yang banyak menentang Nabi Muhammad dan Islam.

Wednesday, August 29, 2012

Kelas Tadabbur...bimbingan Ustaz Muein

Sambungan Amalan Selepas Ramadhan
  1. Istighfar...
  2. Teruskankan amalan solat malam..sekurang-kurangnya solat witir satu rakaat
  3. Solat dhuha..paling kurang 2 rakaat
  4. Puasa sunat..antaranya adalah puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat pada 13,14 dan 15 haribulan setiap bulan dalam bulan Islam
  5. Teruskan membaca Al-Quran setiap hari.

Tanda-tanda iman meningkat adalah meningkatnya amalan kebaikan kita.

Tuesday, August 28, 2012

KELAS TADABBUR AL-QURAN USTAZ MUEIN

Hari ini aku dan rakan-rakan sekelas mentadabbur surah al-Baqarah (ayat 31 dan ayat 32) di bawah bimbingan Ustaz kami iaitu Abdul Muein.


Terjemahan Ayat 31 (Surah Al-Baqarah):

Dan Dia ajarkan kepada Adam nama-nama (benda) semuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para malaikat, seraya berfirman,"Sebutkan kepadaKu nama semua (benda) ini, jika kamu yang benar!"

Terjemahan Ayat 32 (Surah Al-Baqarah):

Mereka menjawab, "Mahasuci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, Maha bijaksana."

Pengajaran Ayat:
  1. Apabila kita diberi Allah ilmu kena sampaikan kepada yang lain-lain.
  2. Kedudukkan manusia lebih baik dari malaikat kerana ilmu. Oleh sebab itu, Allah menyuruh malaikat sujud pada Nabi Adam.
  3. Hanya Allah yang tahu benda-benda ghaib
  4. Allah tahu apa yang ada dalam hati kita. Itulah yang dinilai oleh Allah.
Syaitan Rosakkan Manusia dengan cara berikut:
  1. Rosakkan manusia sebelum amalan dilakukan. (..menukar niat kita..)
  2. Ketika manusia sedang beramal.(..timbulkan rasa riak dalam diri..)
  3. Selepas beramal. (..cerita dengan orang..)
Amalan selepas Ramadhan:
  1. Kena perbanyakkan istighfar. Kelebihannya adalah:
  • Allah jadikan kesedihan sebagai kegembiraan buat kita
  • Allah jadikan bala/musibah sebagai nikmat buat kita
  • Memberikan jalan keluar kepada kesempitan hidup yang dialami
  • Dunia mengejar kita..bukan kita mengejar dunia

Nampak mudah..tetapi yang mudah itu sebenarnya susah..Syurga tu.. kan mahal harganya..Allah pandanglah aku, kaum keluarga ku dan rakan-rakanku..pandanglah kami dengan kasih sayang Mu Allah.

Friday, August 17, 2012

1 Syawal

Tinggal dua hari lagi, kita akan menyambut Hari Raya..adik-adik, kakak-kakak, abang-abang semua sibuk membuat persiapan akhir sebelum Hari Raya menjelang tiba.Disebalik keriangan menyambut ketibaan Hari Raya..janganlah kita semua lupa melakukan ibadat dibulan ramadhan yang mulia yang masih berbaki dua hari lagi..selain dari itu, sama-samalah kita mengubah kebiasaan kita menyambut Hari Raya..yang mana mencuba sedaya upaya lebih mementingkan suruhan "Agama" daripada mendahulukan adat...

"sikit-sikit lama-lama jadi bukit"..bila sudah menjadi kebiasaan, semuanya menjadi mudah..Insyaallah kita semua mampu melakukannya..

Thursday, August 16, 2012

Miskin Vs Kaya

Dugaan Kesihatan tidak mengira miskin atau kaya
* Penyembuhan dengan izin Allah. Kita tidak boleh mendabik dada bahawa dengan mengamal pemakanan dan ubat tertentu kita sembuh. Semuanya dengan izin Allah.

Dugaan kebahagiaan tidak mengira miskin atau kaya
* Miskin tidak semestinya bermuram durja. Kaya tidak semestinya diulik bahagia.

Kematian tidak mengira miskin atau kaya
* Pasti untuk setiap anak cucu Adam. Sentiasa bersedia saat kita dijemput...
* Terlalu mudah untuk dituturkan..pada hakikatnya ADAKAH BERSEDIANYA KITA...





Wednesday, August 15, 2012

10 Akhir

Malam ini adalah malam ke-27 ramadhan. Insyaallah, masih ada berbaki 4 malam sebelum kita semua menyambut Hari Raya Aidil Fitri...moga kita semua tetap istiqomah dalam beribadat dihari-hari hujung ini. Amin

Tuesday, August 14, 2012

Takzirah oleh Ustaz Syed Norhisyam

Hari ini tetiba kepala sakit sangat..pagi tadi ok sahaja..balik dari mesyuarat pukul 11.30 pagi tadi menjadi-jadi sakitnya..tetapi aku gagahkan juga kaki ini untuk mendengar tazkirah..Alhamdulillah..semuanya berjalan lancar..kepala masih sakit..tetapi semakin berkurang..

Dalam banyak-banyak isi ceramah tadi, aku tertarik kepada 2 perkara.. mungkin juga mata ini tersangat berat seberat kepala aku yang sakit (mencari alasan yang sesuai..he he..)

1) Kita selalu memberatkan ibadat puasa dan sembahyang sunat terawih semasa bulan ramadhan tetapi lalai dengan sembahyang wajib..ibadat puasa di bulan ramadhan lebih kepada adat dan kita tidak sabar-sabar menunggu sambutan Hari Raya Aidil Fitri dibandingkan pemburuan lailatulqadar.

2) Amalan ringan tetapi Allah suka..sewajarnya kena sentiasa ringan dibibirkan kita iaitu:

    "Subhanallah wa Bihamdihi dan Subhanallahil Azim"

Monday, August 13, 2012

Idola

Setiap dari kita ada idola..aku juga tidak terkecuali dan terikut-ikut dengan trend tersebut..dulu ya..aku ada idola..tetapi bila usia semakin menuju senja..rasa sungguh tidak berbaloi..sebab setiap idola tersebut adalah manusia biasa. Walaupun pada waktu dan ketika tertentu mempunyai banyak kelebihan yang dipuja jutaan peminat..tetapi dia juga manusia biasa..kekadang tergelincir juga dari landasan..dan sebagai peminat kita akan kecewa bila dia tergelincir. Oleh itu, berpada-padalah menyanjung sesama manusia..

Saturday, August 11, 2012

Ujian Allah

Di saat diri ini diuji oleh Allah..Alhamdulillah.. Allah telah menghadirkan insan-insan yang cukup penyayang daripada golongan kanak-kanak hingga dewasa, bahan-bahan bacaan sebagai pedoman kehidupan dan penyejuk hati..dan juga tasbih coklat kesayangan ku sebagai teman setia di kala mata ini terlalu sukar untuk dilelapkan. Semuanya ini adalah dengan izin Allah..tiada daya kita..


Syukur ku kehadrat ALLAH atas nikmat MU yang tidak terhingga..sebak hati ini..betapa lalai diri ini sebelum ini..moga musibah yang melanda..menjadi titik mula untuk perjalanan aku yang sementara di atas muka bumi..Izinkan aku ALLAH melata di atas muka bumi mu ini..pandanglah aku dengan sifat Ar Rahman dan AR Rahim Mu...sayang dan kasihlah aku ya ALLAH....Janganlah aku dipandang jijik lagi hina..doronglah aku untuk melakukan kebaikan dan kemuliaan dan hindarlah aku dari melakukan perkara mungkar yang mendatangkan kemurkaan MU.


" Ya Allah, engkau telah datangkan kepada ku ubat yang tidak pernah ku kenal sebelum ini, engkau telah buka hati ahli keluarga, sahabat-sahabat ku (yang telah ku kenali dan rakan-rakan baru), guru-guru ku untuk memohon kesihatan yang baik untuk ku. Engkau juga telah datangkan kepada ku doktor dan jururawat yang baik budi pekerti untuk membantu dan mendoakan aku. Engkau juga telah datangkan makanan yang baik untuk ku..izinkan semua ini Allah dapat menyembuhkan ku..dan berilah pada ku rahmat MU yang tak terhingga..aku redha dengan ujian ini" 

Friday, August 10, 2012

Kuliah tengah hari oleh Ustazah Mariam

Kuliah tengah hari ini diberikan oleh Ustazah Mariam...Tajuknya berkenaan Ramadhan..

Bulan ramadhan terbahagi kepada 3 fasa:

a) Fasa 1: Fasa Rahmat

b) Fasa 2: Fasa keampunan

c) Fasa 3: 10 akhir ramadhan adalah fasa pembebasan dari api neraka. Insyaallah jika kita istiqamah sembahyang malam (qiamulail)..kita boleh mendapat pembebasan dari api neraka..

Selain daripada itu, menurut Ustazah lagi, orang-orang beriman amat digalakkan untuk sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W setiap hari..sekurang-kurangnya 10X diwaktu pagi dan 10X sebelum tidur..kerana ianya amalan yang amat disukai oleh Allah..

Bulan ramadhan:


a) Ada puasa - Kita sebagai orang-orang beriman kena betul-betul menghayati amalan puasa. Bulan puasa seperti yang kita semua sedia maklum ianya adalah bulan latihan..untuk meneruskan amalan-amalan sunat dan menghindar perkara mungkar di bulan-bulan yang lain. Pahala bulan ramadhan juga tidak terhingga..rugi jika kita membiarkan ianya berlalu tanpa melakukan apa-apa kebaikan dan menambah saham akhirat. Puasa juga mengajar diri kita menjadi amanah. Mana tidaknya kita tidak akan curi-curi makan walaupun manusia tidak nampak tetapi Allah nampak.

b) Turun Al quran - Rasulullah menyemak bacaan al quran baginda dengan Jibrail di bulan ramadhan.

c) Bulan ramadhan Allah paling dekat dengan hambaNYA. Subhanallah..gunalah masa ini untuk perbanyakkan doa..Insyaallah Allah akan perkenankan doa kita..selagi kita beriman pada Allah.

Waktu mustajab berdoa:

a) Pada mula turun hujan malam jumaat
b) Khatam al quran


* Kalau boleh jangan tinggal majlis ilmu setiap hari dibulan ramadhan..banyak keberkatan disitu.

* Sebagai umat islam, kita amat digalakkan bersedekah terutama dibulan       ramadhan. Jika kita memberi makan seorang yang berpuasa, akan bertambah pahala kita kerana dicampur pahala orang yang berpuasa itu..tidak dikurang sedikitpun.. 

* Bulan puasa, pahala sunat dibayar pahala fardu

* Malam hari raya aidil fitri, jangan tinggal qiamulail kerana amalan yang
hujung itu akan menentukan "gred" amalan ramadhan kita...





Thursday, August 9, 2012

Kuliah ramadhan: Pecutan Akhir Ramadhan

Tajuknya sahaja sudah mengujakan..kuliah pada tengah hari ini disampaikan oleh Ustaz Muhamad bin Abdullah Al-Amin. Cara penyampaiannya yang agak bersahaja cukup memikat hati..sekali sekala ianya diselang seli dengan lawak jenaka yang mencuit hati..tetapi penuh "bermakna"..Alhamdulillah sehingga kini (sepanjang tahun dan khususnya bulan ramadhan) pihak syarikat sentiasa berjaya menampilkan penceramah agama yang setiasa mendatangkan kesan dihati pendengarnya....Syukur pada Allah memberi peluang kepadaku untuk menjadi sebahagian daripada penghuninya..Seperti biasa kaum hawa lebih dari kaum adam..he..he... Berikut adalah serba sedikit maklumat berguna yang boleh dijadikan pedoman kita semua sesuai dengan 10 hari terakhir ramadhan..

1) Kenapa Qiamulail?

Rahmat Allah turun dari langit ke dunia...ini menunjukkan betapa sayangnya Allah kepada kita semua..Subhanallah..Ketika ini, insyaallah..setiap doa kita akan dimakbulkan oleh Allah. Menurut Ustaz, setiap malam ada waktu-waktu yang doanya sangat mustajab.

a) Awal rejab

b) Malam nisfu Syaaban

c) Malam Hari Raya Aidil fitri

d) Malam Hari Raya Aidil Adha

e) Malam Jumaat

2) Kaedah bangun malam

Macam mana hendak bangun malam ni!..memang agak susah kan..tetapi insyaallah..ianya boleh kita lakukan. Mari kita semak caranya..
a) Tidak tidur langsung sehingga subuh

b) Tidak tidur sehingga selesai qiamulail. Selepas qiamulail tidur sekejap dan bangun semula untuk menunaikan solat subuh

c) Tidur dan bangun sekitar pukul 3 pagi untuk qiamulail dan seterusnya solat subuh.

d) Tidur dan bangun untuk qiamulail dan tidur dan bangun semula untuk solat sunat dan solat subuh Menurut ustaz lagi, yang terbaik adalah kaedah d. wallahualam.

3) Apakah jenis sembahyang sunat waktu malam..

a) Mulakan dengan solat taubat terlebih dahulu

b) Diikuti dengan solat hajat

c) Solat tahajut

d) Solat tasbih

e) Tutup dengan solat witir

4) Macam mana hendak bangun malam. emmmm...satu lagi cabaran..

a) Islam tidak menafikan fitrah manusia. Sehubungan dengan itu, kita kena rehat secukupnya sebagai persediaan untuk melakukan ibadat malam.

* Insyaallah..mulakan niat kerana Allah..insyaallah Allah mudahkan urusan kita..

b) Kena jaga makan...jangan terlalu kenyang sehingga sukar bagi kita untuk bangun..

c) Tasawwuf Kita kena perbanyakkan taubat..

d) Sebelum tidur baca ayat kursi dengan niat..kita hendak bangun qiamulail..Insyaallah mudah urusan kita.

e) Sentiasa ucapkan
Panduan berguna yang ku dapat tadi adalah..kalau kita terasa berat untuk melakukan sesuatu insyaallah dengan mengamalkan ayat di atas, Allah mudahkan perkara yang sebelum ini terasa berat dan sukar untuk dilakukan.



Selain itu, ustaz juga telah berkongsi ilmu berikut. Sesuai bagi mereka yang sedang sakit, berada dalam kesukaran dan sebagainya..kalau sakit petuanya adalah baca ayat berikut..hembuskan ke tangan dan sapu di tempat yang sakit..Insyaallah..penyakit tersebut akan sembuh..

Caranya ialah:

Baca ayat 52 dari surah Hud sebanyak 3 kali

وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَى قُوَّتِكُمْ وَلاَ تَتَوَلَّوْاْ مُجْرِمِينَ

Maksudnya: ..menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu yang sedia ada; dan janganlah kamu berpaling kepada orang yang berbuat dosa.

Diikuti dengan selawat ke atas Nabi Muhammad sebanyak 3 kali.

* Allah yang memberi dugaan kepada kita..Allah jugalah yang menyembuhkan dan menghilangkan duka lara kita..semuanya dari DIA...sentiasa berdoa dan bersangka baik pada Allah..mohonlah taubat selalu..dan sentiasa mohon rahmat ALLAH..dunia ini hanya sementara..akhirat kekal abadi..dengan rahmatNYA sahaja kita boleh masuk syurga..moga ALLAH sayang kita semua..amin.

5) Malam Lailatulqadar

Adalah satu malam yang Allah tetapkan lebih baik dari 1000 bulan..bermula dari masuk waktu maghrib sehingga waktu Subuh.

Insyaallah jika kita diberi peluang keemasan ini oleh Allah..mohonlah keampunan ALLAH

Perbanyakkan istifar untuk hilangkan hijab dan supaya doa kita dimakbulkan ALLAH

Friday, August 3, 2012

Bersyukur Dengan Nikmat yang diberikan oleh Yang Maha Kuasa

*
* Ku bersyukur kerana di lahirkan dinegeri yang aman. * Ku bersyukur kerana dikelilingi keluarga dan sahabat yang sentiasa sanggup berada disisi masa senang dan susah. * Ku bersyukur kerana masih diberi khudrat untuk mencari rezeki yang halal. * Ku bersyukur kerana masih diberikan rezeki untuk aku nikmati walaupun tidak semewah mana tapi cukup untuk meneruskan kehidupan ini. * Ku bersyukur dikurniakan rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang sentiasa mengajak ke arah kebaikan.

Thursday, July 19, 2012

Bila kita diuji

Setiap manusia pasti merasa saat diuji..sejak kita lahir ke dunia ini..satu demi satu ujian kita hadapi..ujian sebagai bayi..bersusah payah belajar merangkak..bercakap..makan dan sebagainya..ujian di alam persekolahan..ujian di alam pekerjaan..ujian di alam rumah tangga..ujian penyakit..dan pelbagai ujian lagi..apa-apa pun sebagai manusia islam kita kena tabah,sabar dan redha dalam menghadapi ujian ini dan sentiasa bersangka baik pada Allah..setiap yang terjadi itu ada hikmahnya..